Wednesday, March 29, 2006

KOMEN NELAYAN SUNGAI BURUNG MENGENAI KETERANGAN NAJIB RAZAK

Oleh Raden Jowo- Laman M@RHAEN

Sungai Buluh, Selangor, 2 Mac –
Berikut adalah komen yang saya perolehi dari kumpulan nelayan di Sungai Burong, Selangor, berkenaan wawancara Dato Seri Najib di RTM tempoh hari. Rata-rata nelayan yang saya temui adalah mereka yang mempunyai kelulusan tidak lebih dari tingkatan 3. Yang memeranjatkan jawapan yang mereka berikan jauh lebih baik dari jawapan yang Najib berikan. Mari kita lihat sejauh mana logiknya, komen yang diberikan oleh kumpulan nelayan tersebut.

1. Kata Najib: Satu daripada kebaikan yang mungkin boleh timbul daripada langkah kita menaikkan harga minyak sekali gus, bahawasanya akan timbul satu kesedaran di kalangan rakyat dan pengguna bahawa kita perlu membuat suatu perubahan kepada gaya hidup kita, supaya dengan ini kita boleh berbelanja dengan cara yang lebih berhemah kita boleh melakukan langkah jimat cermat menentukan keutamaan dari segi perbelanjaan kita. Kita tidak membazir. Kurangkan pembaziran.

Jawapan nelayan: Rakyat sudah lama sedar, dan KITA yang dimaksudkan di dalam jawaban Najib adalah rakyat dan bukan pemimpin-pemimpin. Bila menyebut tentang jimat, siapa sebenarnya yang berjimat? Kerajaan atau rakyat? Bagaimana dengan jambatan retak, bumbung runtuh, komputer tidak boleh diguna dan dengan harga yang tinggi, Putra Jaya yang tidak berfungsi sebaik mungkin, jalan raya yang berlubang-lubang, jambatan goyang, rasuah ketika pilihan raya, lobi Bush menggunakan wang. Siapa yang lakukan semuanya? Adakah rakyat atau kerajaan yang membuat keputusan untuk membelanjakan wang?

2. Kata Najib: Kita juga mungkin boleh memikirkan cara-cara alternatif dari segi perubahan cara hidup kita, umpamanya kita boleh pilih menggunakan pengangkutan awam.

Jawapan nelayan: Siapa kita? Rakyat atau menteri-menteri? Berapa kerat menteri yang datang kerja naik bas dan seterusnya perlu berjalan kaki untuk sampai ke pejabat? Berapa ramai menteri yang menggunakan bas sekolah untuk anak mereka? Apa lu cerita mamat?

3. Kata Najib: Dan saya hendak sebut di sini prinsip kedua, daripada pakej kita. Prinsip kedua kita ialah bahawa kita akan menggunakan pendapatan yang dapat kita jimatkan daripada perlunya kita keluarkan subsidi, kita akan masukkan dalam Kumpulan Wang Amanah. Satu Kumpulan Wang Amanah baru akan kita wujudkan dan wang itu kita akan gunakan untuk penambahbaikan sistem pengangkutan awam dalam negara kita.

Jawapan nelayan: Untuk apa kumpulan amanah diwujudkan? Untuk kemudahan menteri membelanjakan wang tanpa kelulusan Ahli Dewan? Kenapa perlu membina pengangkutan awam dari wang yang sepatutnya diberi kepada rakyat dan kemudian rakyat perlu membayar untuk menggunakan perkhidmatan tersebut. Jika tambang dibayar kenapa guna wang Kumpulan Amanah untuk penambahbaikan sistem pengangkutan tersebut.

4. Kata Najib: Bahawa orang yang patut menerima subsidi, tidak menerimanya dengan sepenuhnya. Orang yang lebih mewah pendapatannya ataupun kurang layak, menerima faedah yang lebih besar daripada orang yang sepatutnya menerima. (contoh yang diberikan adalah merujuk kepada nelayan)

Jawapan nelayan: Kenapa merujuk kepada nelayan, kenapa tidak merujuk kepada menteri dan ahli korperat yang kaya membeli minyak dengan harga yang sama yang diperolehi oleh rakyat biasa? Ini contoh yang tidak adil dan cuba sembunyi silap sendiri dan mencetuskan rasa tidak puas hati antara rakyat?

5. Kata Najib: Jika kita lihat sekali imbas mungkin "dichotomy" atau ada percanggahan. Tetapi kerajaan percaya dalam keadaan ini kita masih boleh lagi menyokong kejayaan kereta nasional, sebab kereta nasional mempunyai keupayaan enjin pada tahap tidak menggunakan minyak terlalu tinggi. Ada juga kereta yang jenis lebih kecil iaitu `Kancil' yang menggunakan petrol pada kadar yang agak rendah.

Jawapan nelayan: Menteri kena mula dulu, kalau rakyat hendak menukar kenderaan perlu perbelanjaan untuk trade-in dan sebagainya. Sedangkan harga kereta Proton yang rakyat pakai pun sudah turun harga. Kalau dijual, rakyat tidak dapat keuntungan. Silap-silap kena tambah wang. Kalau Pak Lah dan Najib sanggup pergi kerja pakai kereta Proton Wira pun sudah ok. Dan biarkan rakyat menggunakan MyVy. Agak pelik, kerana pemimpin kerajaan selalunya akan memperolehi model kereta tempatan yang baru dari kilang (percuma), jadi jika sudah ada, kenapa tidak diguna? Cuba fikir dulu sebelum menjawab. Pandang cermin, kalau kelihatan ada tanduk di celah rambut, jangan jawab dan jangan beri nasihat.

6. Kata Najib: Jadi sekarang ini kenapa mereka perlu naikkan harga barangan mereka, walhal mengikut kajian kita, pukul rata dari segi macam-macam jenis barangan services, minyak merupakan komponen hanya 1.5 peratus daripada total production cost sahaja. (Merujuk kepada kenaikan harga barangan lain)

Jawapan nelayan: Peniaga akan cuba mencari keuntungan, jual barang mahal, barang seludup dan sebagainya. Tetapi mana pemantauan yang sepatutnya kerajaan buat? Tidak cukup pekerja atau tidak ada idea bagaimana hendak bendung masalah ini. Rakyat tidak pernah berjanji untuk membendung harga, yang selalu janji adalah pihak kerajaan, diketuai oleh Shafiee Apdal. Apa Dato Seri tidak boleh beri arahan atau lepas tangan dalam hal ini, lalu menyalahkan peniaga yang sentiasa menunggu peluang. Kerajaan nak tunggu apa? Tunggu rakyat mengamuk ke? Kalau begini, tidak payah ada POLIS, kita nasihatkan sahaja perompak jangan merompak, kan lebih mudah.

7. Kata Najib: Kita tidak akan buat perkara ini secara mendadak. Kalau kita nak buat pun, cara perlahan-lahan, secara berperingkat, sebab kita tidak mahu membebankan rakyat. (Berkenaan kenaikan harga minyak)

Jawapan nelayan: Dah lama kerajaan membebankan rakyat. Naikkan harga tiap-tiap minggu lagi bagus. Mungkin penyokong UMNO akan sedar siapa yang mereka sokong selama ini? Kerajaan untuk rakyat atau rakyat untuk kerajaan?

8. Kata Najib: Sudah wujud beberapa buah kedai dan kita akan tambah lagi kedai-kedai seperti ini yang mengenakan harga yang amat berpatutan. Dan sebagai pengguna, kalau kita boleh gunakan kuasa sebagai pengguna, kita membeli daripada kedai-kedai seperti ini, kedai-kedai lain akan terpaksa mengurangkan harga mereka kerana mengikut tekanan daripada pengguna itu sendiri.

Jawapan nelayan: Ini semua idea rakyat, bukannya kerajaan. Tetapi yang nyata, barangan di situ tidak berkualiti, peniaga kalau bodoh, rugilah berniaga. Makan gaji lagi baik. Walaupun terdapat kedai murah kenapa menteri dan kroni sibuk berbelanja di gedung-gedung mewah. Seelok-eloknya bawalah Datin Seri datang beli barang murah, tengok muka dia macamana? Beli ikan di Giant atau Tesco. Silap-silap tidur asing-asing la nampaknya.

9. Kata Najib: Kita telah membuat perkiraan bahawa kita masih boleh menjadi negara yang kompetetif. Kalau negara lain di rantau ini yang telah menghapuskan subsidi petrol dan mengenakan harga runcit petrol dan diesel jauh lebih tinggi dari kita merupakan negara-negara yang kompetetif, takkan Malaysia tidak boleh compete, walhal kos kita lebih rendah, terutama sekali dari segi kos minyak.

Jawapan nelayan: Kos apa yang rendah, jika semua pekerja meminta dinaikkan gaji akibat harga barangan pun ikut naik? Boleh ke tidak Dato Seri? Kalau memberi jawapan tu fikir secara menyeluruh, cara professional sikit. Dato Seri hendak suruh pekerja semua makan pasir dan beruniformkan plastik isi barang ke? Ke Dato Seri tidak faham bahawa kenaikan harga minyak akan menaikkan harga barangan lain yang menggunakan sistem pengangkutan. Selain dari itu Dato, LPG juga turut naik harga dan ini akan melibatkan juga barangan lain yang menggunakan kuasa LPG tersebut. Ada faham ka?

10. Kata Najib: Itu satu risiko yang telah kerajaan ambil. Maknanya kalau sekiranya katakan harga minyak sedunia meningkat kepada AS$70 satu tong, bererti penjimatan kita terhapus, tidak ada lagi penjimatan sebenarnya. Dan kerajaan terpaksa tanggung subsidi tambahan tetapi kita telah beri suatu jaminan dan kita akan pertahankan jaminan kita.

Jawapan nelayan: Risiko kerajaan adalah penentangan rakyat dan paksaan untuk kerajaan meletakkan jawatan dan selain dari itu, rasanya tiada risiko lain. Risiko yang sudah menjadi kebiasaan adalah memberikan kontrak dan peluang perniagaan kepada rakan-rakan, menantu, anak saudara, cucu belah mak dan pakcik belah atuk. Contohnya terbaru adalah syarikat MAS, mengalami kerugian yang teramat sangat. Dan sudah pasti bukan hanya disebabkan gambar antik, dan pasti ada alasan yang sudah ditutup. Jawatankuasa penyiasatan yang ditubuhkan itu, syarat sahaja. Adakah kerugian tersebut, dikira risiko atau pendapatan? Apa Dato Seri tahu pasal risiko, kalau setiap kali risiko berlaku asyik tolak ke rakyat, apa risiko kerajaan?

11. Kata Najib: Bertitik tolak dari situ, kalau kita sudah terima hakikat, jadi lebih mudah bagi kita untuk membuat perubahan untuk menyesuaikan diri kita yang saya katakan tadi...gaya hidup kita, cara kita berbelanja dan sebagainya. Supaya walaupun harga minyak naik, tetapi kita dapat juga mengekalkan kualiti hidup kita dan kita dapat juga menikmati kemudahan-kemudahan dan juga keselesaan hidup yang biasa didapati oleh kita.

Jawapan nelayan: Sekali lagi Dato Seri cerita pasal gaya hidup, kita perlu ingat term of reference yang digunakan di sini adalah, GAYA untuk kerajaan dan sekadar untuk HIDUP adalah untuk rakyat.

12. Kata Najib: Memang di Malaysia ini, macam ada stigma sikit. Kalau kita naik pengangkutan awam, macam kita ini datang daripada golongan berpendapatan rendah. Sebenarnya tidak semestinya. Saya tahu ada juga menteri yang menaiki LRT untuk pergi ke satu-satu majlis kerana lebih mudah lagi. (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Datuk Seri Ong Ka Ting beritahu saya hari ini, beliau sudah menaiki LRT lima kali.

Jawapan nelayan: Apa yang menteri ini cerita? Contoh dari Teladan. Najib cakap tidak serupa bikin. Orang gaji Najib pun kalau beli ikan naik kereta. Itu satu kereta daripada beberapa buah kereta.
Ong Ka Ting semenjak jadi menteri, baru 5 kali naik LRT? (Beramai-ramai ketawa sehingga bergoyang sampan) Rakyat tiap-tiap hari naik, dan ramai lagi yang tidak pernah naik kereta mewah. Dato Seri sendiri pernah ke naik LRT, mungkin pada hari pelancaran sahaja. Oii kawan, duit beli kereta dan isi minyak menteri tu siapa yang bayar? Sedarlah sikit. jangan sebut LRT, rakyat juga pernah tumpang lori ikan untuk balik kampung tau. Rakyat sudah lama susah, tetapi menteri pernah lama susah ka?

13. Kata Najib: Saya nak jelaskan (apa) yang disebutkan political cost. Ini (akan jadi) political cost, kalau rakyat tak faham. Tapi kalau kefahaman itu ada pada rakyat, insyaAllah rakyat akan menyokong tindakan kerajaan.

Jawapan nelayan: Sebab rakyat kurang fahamlah maka menteri-menteri ingat boleh buat sesuka hati. Double Standard? Untuk pengetahuan Dato Seri, sebenarnya kami semua sudah meluat dengan alasan Dato Seri. Dan jika SPR dan Polis tiada, lama dah Dato Seri jatuh takhta. Tidak apa, masa akan tiba dan ketika itu kita semua mahu lihat, Dato Seri serta isteri dan anak-anak naik teksi atau LRT untuk membeli permata bagi hadiah ulang tahun perkahwinan. Dan jangan lupa, sila dial: 012 – 3295145 (untuk perkhidmatan bas sekolah) untuk hantar cucu atau cicit kelak.

Kesimpulan: Dengan komen tersebut, menunjukkan bahawa, idea dan keterangan TPM tentang kenaikan harga minyak sekadar bercakap dan tidak langsung kelihatan seperti menyelesaikan masalah. Dengan erti kata lain, menegakkan benang yang basah. Memberi alasan yang tidak munasabah.

Rakyat bukan bodoh. Kerana Malaysia dimajmukkan, memberi kemudahan kepada kerajaan untuk menghimpit dan menyusahkan rakyat. Apabila isu menjadi panas, kerajaan akan mencari jalan untuk kaitkan dengan agama atau perkauman. Maka fokus bertukar dan rakyat akan menjadi bimbang dengan akibat, jika terus mempertikaikannya.

Kebanyakan rakyat sudah tidak mahu dengar apa yang menteri perjelaskan. Ketika bermulanya wawancara tersebut, kebanyakan rakyat menukar siaran atau masuk tidur. Kerana mereka boleh menilai kualiti seorang pemimpin dari bentuk percakapan. Minta maaf kepada menteri-menteri kerana membuang masa memberi alasan, sedangkan rakyat tidak sedikit pun hirau. Harap dapat cuba memutar belit dengan lebih cemerlang di lain kali.

Jika cara jawapan Najib yang langsung tidak berkualiti, apa akan jadi apabila jika jawatan PM direbut oleh beliau kelak. Maka akan ada 2 orang Samy Vellu dalam kerajaan. Habis rakyat dibelit dengan kaki-kaki cilok dan kelentung yang ada. Kalau bukan kerana anak Tun Razak, mungkin Najib sekadar pencacai atau sudah 5 atau 6 kali dibuang kerja kerana cakap pun tidak pandai, buat apa tah lagi. Ngarut sungguh kerajaan Malaysia!!!

No comments: