Monday, May 15, 2006

Lagi-lagi yg kutuk PTD

SAYA sependapat dan menyokong tulisan Injiner Kampung, Kuala Lumpur dalam Forum 18 April 2006 yang mengesyorkan supaya kalangan profesional diberikan peluang yang sama dengan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) untuk mengisi jawatan penting dan tinggi seperti Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (TKSU), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ketua Pengarah dan Yang Dipertua Majlis Bandar Raya/Perbandaran/Daerah.
Sesungguhnya setakat ini berapalah sangat bilangan Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) ini diperuntukkan kepada pegawai profesional jika dibandingkan dengan PTD.
Senario ini juga melahirkan persoalan mengapa banyak projek yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-8 berakhir dengan kegagalan.
Terdapat projek-projek yang bukan sahaja gagal disiapkan mengikut jadual dan kos, malah banyak yang disiapkan tetapi tidak mencapai kualiti yang dikehendaki.
Kajian menunjukkan terdapat projek seperti makmal komputer dan sekolah, kompleks polis dan penjara yang mengalami kerosakan struktur yang serius sehingga terpaksa dirujuk kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Puncanya ialah kaedah perolehan menggunakan Perunding Pengurusan Projek (Project Management Consultant - PMC) oleh kementerian dan dikendalikan oleh PTD, selain pelantikan kontraktor dan perunding yang tidak telus dan tepat.
Lantaran itu technical project management auditing tidak dilaksanakan terhadap kontraktor terutamanya kontraktor reka dan bena.
Tindakan kementerian tidak menyerahkan pelaksanaan projek kepada jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagaimana yang termaktub dalam Pekeliling Perbendaharaan, juga merupakan faktor penyebab kegagalan penyiapan projek.
Pelantikan Pengawai Penguasa (PP) yang terdiri daripada ketua setiausaha/setiausaha bahagian kementerian yang rata-rata adalah PTD yang tidak mempunyai latar belakang akademik dalam bidang sains, teknikal dan kejuruteraan juga merupakan faktor yang menyebabkan projek-projek RMK-8 gagal.
Pengurusan projek terutamanya projek pembinaan memerlukan mereka yang cekap berlatarbelakangkan sains, teknikal dan kejuruteraan di samping bidang pengurusan.
Pengetahuan teknikal dan kejuruteraan ini mesti diperoleh melalui proses pembelajaran berstruktur di universiti dan kurikulumnya mesti diiktiraf oleh lembaga-lembaga arkitek, jurutera, juruukur tanah dan juruukur bahan, perancang bandar dan seumpamanya.
Ia tidak boleh dibuat sekadar melalui pembacaan sebagaimana pengetahuan berhubung pengurusan.
Sudah sampai masanya kerajaan memberi perhatian kepada pegawai-pegawai profesional yang lahir dari kalangan pelajar-pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang seperti arkitek, jurutera, juruukur bahan, perancang bandar, doktor, ahli sains, pensyarah dan guru, akauntan, pegawai undang-undang dan sebagainya sekiranya ingin membawa Malaysia ke arah negara maju menjelang 2020.
Langkah ini juga bertujuan mengelakkan berlakunya pengaliran tenaga pakar ke negara lain, sehingga kerajaan terpaksa berusaha dengan pelbagai cara untuk membawa mereka kembali berkhidmat di Malaysia.
Bayangkan pelajar-pelajar aliran sains dan teknikal yang cemerlang ini menjadi pegawai profesional di bawah rakan mereka dari aliran sastera yang tidak cemerlang seperti mereka semasa zaman persekolahan.
Pelantikan profesional menggantikan PTD untuk jawatan Ketua Pengarah Penerbangan Awam (DCA) merupakan satu contoh terbaik. Di sektor swasta, kita juga dapat saksikan syarikat-syarikat yang diterajui oleh profesional seperti akauntan, peguam, jurutera, arkitek dan sebagainya.
Kita harus kembali kepada ajaran Islam: "Serahkanlah sesuatu tugas itu kepada mereka yang ahli atau pakar mengenainya, jika tidak maka nantikanlah bencana dan akibatnya.'' Inilah yang telah berlaku selama ini.
- IR. DR. WHO,
Kuala Lumpur.

No comments: