Monday, May 15, 2006

Cikgu pulak kutuk Geng Profesional..Apa Cerita??

Yang profesional kata, mereka patut ambil alih tugas PTD...
Yg guru-guru maktab pulak kata, hapuskan KPLI memandangkan ramai yang drp jurusan profesional.............Bila nak habis daaa...???
------------------------------------------------------------------------
Guru lepasan IPG patut diutamakan berbanding lulusan KPLI

PENGUMUMAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menaikkan taraf 27 maktab perguruan menjadi Institut Pendidikan Guru (IPG) disambut secara positif oleh warga pendidik serta kesatuan guru.

Ia membuka dimensi baru kepada sistem pendidikan di negara kita. Inilah pengiktirafan yang paling tinggi dinikmati oleh maktab perguruan sejak ditubuhkan pada 1912. Dengan menaikkan taraf maktab perguruan kepada IPG, maka ia membolehkan IPG menawarkan kursus perguruan ke peringkat ijazah.

Ia juga menyahut kehendak Kementerian Pelajaran untuk menempatkan 100 peratus guru siswazah di sekolah menengah dan 40 peratus di sekolah rendah. Namun, beberapa masalah akan timbul dan ini dengan sendirinya akan memberikan masalah kepada Kementerian Pelajaran serta guru terutama guru baru.

Masalah yang ketara ialah kelebihan bilangan guru yang dikeluarkan menyebabkan isu guru terlatih tidak mendapat penempatan selepas menamatkan kursus ijazah mereka. Berita 60 guru opsyen prasekolah Universiti Malaya menyerbu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar perlulah dilihat secara mendalam oleh pihak atasan terutamanya Bahagian Pendidikan Guru (BPG). Perkara ini bukannya boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan soal perkhidmatan serta peluang kenaikan pangkat seseorang guru pada masa akan datang.

Sepintas lalu, adalah tidak wajar guru terlatih lepasan Universiti Malaya yang telah empat tahun menerokai segala ilmu prasekolah tidak mendapat penempatan, sedangkan guru kursus perguruan lepasan ijazah (KPLI) yang dilatih di IPG selama setahun dalam bidang prasekolah diberikan penempatan.

Guru KPLI ini, kalau dilihat pada ijazah pertama mereka bukannya dari jurusan pendidikan. Ada jurutera, akauntan dan peguam.Memandangkan maktab perguruan telah dinaikkan taraf, maka wajarlah Kementerian Pelajaran serta Bahagian Pendidikan Guru membuat rombakan demi meningkatkan lagi profesionalisme guru di negara kita.

Antara cadangan saya agar dipertimbangkan oleh pihak yang bertanggungjawab ialah mengadakan perbincangan teliti di antara Kementerian Pelajaran dengan Kementerian Pengajian Tinggi agar pengambilan serta penempatan guru tidak lagi menimbulkan masalah.

Program KPLI patut dihentikan dan IPG hanya mengajar ijazah sarjana muda perguruan. Peningkatan kelulusan akademik pensyarah IPG dinaikkan sekurang-kurangnya ke tahap master. Mana-mana pensyarah yang belum mencapai tahap ini perlu ditukarkan ke sekolah. Pada hari ini, ramai guru sekolah memiliki master. Mana-mana pensyarah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) fakulti pendidikan yang belum memiliki ijazah kedoktoran (PhD) perlu diberikan tekanan oleh pihak pentadbiran universiti agar mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD.

Setakat ini kebanyakan pensyarah fakulti pendidikan di IPTA hanya berkelulusan master saja. Kalau ini dibiarkan mungkin satu hari nanti pensyarah IPG akan melebihi pensyarah IPTA dalam soal memiliki PhD. Pengarah IPG perlu daripada mereka yang berkelulusan PhD, ini sesuai dengan kedudukan serta tarafnya. Setakat ini hampir semua 27 pengarah IPG hanya memiliki ijazah pertama saja. BPG perlu dinaikkan taraf menjadi jabatan yang sama taraf atau lebih tinggi daripada jabatan sekolah.

Pada hari ini, BPG terletak di bawah jabatan sekolah, ini menggambarkan bahawa IPG lebih rendah daripada sekolah. Mewujudkan lebih banyak peluang kenaikan pangkat bagi pensyarah IPG yang memiliki Ph.D. Setakat ini kelulusan akademik yang tinggi ini tidak dijadikan satu kriteria pemilihan kenaikan pangkat tetapi `orang luar' yang hanya berkelulusan ijazah pertama mengisi jawatan utama di maktab perguruan. Dengan meneliti cadangan demi memartabatkan profesion keguruan serta nasib pensyarah IPG serta IPTA, perbincangan yang teliti perlulah dilakukan oleh mereka yang bertanggungjawab.

DR THINK,Kuala Lumpur.

No comments: