Wednesday, April 19, 2006

Surat layang kepada PTD

Ni aku dapat dari Utusan Malaysia semalam:

Pegawai profesional patut turut dilantik ketua jabatan

PERKARA yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam Parlimen baru-baru ini mengenai sistem penyampaian kerajaan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Seperti yang umum maklum, hampir semua jawatan penting dan tinggi kerajaan seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Setiausaha (KSU), Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU), Setiausaha Negeri, Ketua Pengarah, dan lain-lain adalah diperuntuk kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sahaja dan ramai daripadanya terdiri daripada kalangannya graduan bidang ekonomi dan sastera.

Pegawai profesional seperti jurutera, peguam, arkitek, doktor dan setaraf dengannya tiada peluang untuk mengisi jawatan-jawatan penting kerajaan.

Ini adalah kerana sistem pentadbiran jabatan kerajaan yang ada sekarang tidak membenarkan sedemikian.

Soalan yang boleh dikemukakan di sini, adakah pegawai-pegawai profesional ini tidak layak mengisi jawatan-jawatan penting kerajaan?

Kenapakah sistem pentadbiran peninggalan penjajah Inggeris masih dikekalkan malah seolah-olah diperkukuhkan lagi oleh mereka yang berkuasa dan menafikan golongan profesional bagi jawatan-jawatan tersebut.

Apa salahnya sekiranya KSU Pertahanan seorang askar, KSU Kesihatan seorang doktor, KSU Pendidikan seorang guru, Yang Dipertua Majlis seorang jurutera?

Kenapa tidak ada satu pun jawatan pegawai teknikal di pejabat-pejabat Duta Malaysia di luar negara yang dapat menilai teknologi terkini negara-negara maju dan memberi maklumbalas kepada kerajaan?

Sudah sampai masanya polisi pelantikan ketua-ketua jabatan dari kalangan PTD sahaja dikaji semula.

Peluang lebih terbuka perlu diwujud dan diberi kepada semua jurusan profesional yang layak untuk menerajui sesebuah kementerian atau jabatan.

Dalam era globalisasi kini, peluang perlu dibuka kepada semua jurusan profesional yang layak untuk sama-sama berganding bahu memimpin jabatan kerajaan dan dapat membuat keputusan yang lebih baik bagi dan rakyat.

Input kemahiran daripada pelbagai bidang dan jurusan sangat penting bagi kerajaan membuat keputusan lebih efektif dan memberi perkhidmatan memenuhi impian rakyat.

Ia juga dapat meningkatkan keupayaan kerajaan ke tahap setaraf dengan negara-negara maju.
Oleh itu disarankan kerajaan mengkaji semula sistem monopoli dalam pelantikan pegawai tinggi kerajaan yang merugikan negara ini.

- INJINER KAMPUNG,
Kuala Lumpur.

No comments: